Download pdf
Agrobank biaya 400 pembekal getah
Berita Harian, 16 Jul 2010
Agrobank akan menyediakan pembiayaan kepada kira-kira 400 pembekal getah Mardec Bhd yang layak sebagai modal pusingan bagi urusan jual beli getah daripada pekebun getah kecil di seluruh negara.
Bank itu semalam memeteraikan memorandum persefahaman (MoU) dengan Mardec untuk menyediakan tiga jenis pembiayaan berkaitan.
Ia adalah Micro ESP-i yang menyediakan pembiayaan sehingga RM20,000; MUS1M (sehingga RM50,000) and Niagatani bagi pembiayaan yang melebihi RM50,000.
Pengarah Urusan Agrobank, Datuk Ahmad Said, berkata permulaan skim pembiayaan berkenaan ditawarkan kepada 66 syarikat pembekal susu getah dan sekerap di tujuh kilang Mardec Processing Sdn Bhd, iaitu di Baling, Kedah; Bota Kanan, Perak; Kuala Pilah, Negeri Sembilan; Kuala Berang, Terengganu and Mentakab Pahang.
"Bagi peringkat pertama kami menyalurkan pembiayaan kepada pembekal Mardec yang mempunyai record baik dan jika ada keperluan kami akan meluaskan ia kepada pembekal Mardec lain di seluruh negara.
"Memorandum ini akan membantu kami meluaskan portfolio pembiayaan pembiayaan segmen getah sedia ada dan kami menyasarkan RM3.3 juta pembiayaan akan disalurkan menerusi skim ini.
"Pembiayaan itu dijamin oleh Mardec, yang akan terus berurusan secara terus dengan bank bagi mengelakkan sebarang kemungkinan berlakunya kegagalan membayar
balik," katanya pada sidang media selepas memeteraikan MoU di Kuala Lumpur, semalam.
Pada majlis itu, Ahmad mewakili Agrobank, manakala Mardec diwakili Ketua Eksekutifnya, Khalid Bahsoon.
|
Ahmad (kiri) bertukar dokumen dengan Khalid (kanan) sambil diperhatikan Pengerusi MARDEC, Datuk Wira Syed Abdul Jabbar Syed Hassan (tiga dari kiri) dan Ahli Lembaga Pengarah Agrobank, Datuk Dr Saharan Anang di Kuala Lumpur, semalam. |