Download pdf
Fokus Mardec majukan industri getah kekal
Utusan Malaysia, 16 Jul 2010
KUALA LUMPUR 15 Julai - Penstrukturan semula Mardec Bhd. (Mardec) selepas diambil alih oleh Tradewinds Corporation Bhd. tidak akan mengubah tumpuan syarikat itu daripada memajukan industri getah di Malaysia.
Pengerusi Tradewinds, Datuk Wira Syed Abdul Jabbar Syed Hassan berkata, walaupun Mardec diambil alih oleh anak syarikat Tradewinds, Tradewinds Plantation Bhd., Mardec akan tetap dengan tumpuan dan sasaran utama yang ditetapkan untuknya.
''Saya tidak merasakan fokus utama kami akan berubah walaupun Tradewinds Plantation lebih banyak terlibat dengan industri kelapa sawit di negara ini.
''Malah, saya beranggapan ia akan dapat membantu mengembang dan meluaskan lagi pengaruh Mardec dalam industri getah di Malaysia dan luar negara dengan berkongsi kepakaran yang dimiliki oleh mereka,'' katanya selepas majlis memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Mardec dan Agrobank di sini hari ini.
Baru-baru ini, Tradewinds Plantation telah mengumumkan cadangan pengambilan alih Mardec bernilai RM150 juta yang dijangka selesai pada akhir tahun ini.
Melalui pengambilan alih itu, Tradewinds akan mempelbagaikan aktiviti perladangan di tanah seluas 11,404 hektar yang diperoleh mereka di mana 5,670 hektar daripadanya akan digunakan untuk tanaman getah.
Sementara itu, Khalid berkata, penstrukturan dan pengambilan alih Mardec itu akan memberikan kelebihan kepada syarikat tersebut.
''Kita patut melihatnya (pengambilan alih) ini sebagai sesuatu yang positif kerana selain dapat berkongsi kepakaran dengan Tradewinds Plantation, kita juga mendapat manfaat daripada kemajuan teknologi mereka.
''Perkongsian teknologi yang berlaku akan dapat membantu dalam meningkatkan lagi produktiviti serta melancarkan perjalanan aktiviti perniagaan Mardec,'' jelasnya.