company
News Release
Newsletter
Exhibition Gallery
Corporate Video
Video Footage
Mardec Profile Leaflet
Advertisement Archive
 
 
Download pdf

Laba Agrobank RM220 juta


Utusan Malaysia, 16 Jul 2010

KUALA LUMPUR 15 Julai - Agrobank menjangkakan keuntungan bersih bank itu meningkat 20 peratus kepada RM220 juta pada tahun ini.

Bank itu yang mencatat keuntungan selepas cukai berjumlah RM180 juta pada tahun lalu itu, yakin mampu mencapai sasaran tersebut, kata Pengarah Urusannya, Datuk Ahmad Said.

Beliau berkata, sehingga Jun tahun ini, bank itu telah menyaksikan peningkatan dalam keuntungan berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

''Berdasarkan itu, kami sangat optimis dan yakin bahawa sasaran keuntungan bersih selepas cukai kami berjumlah RM220 juta tahun ini akan dapat direalisasikan.

''Jadi kami akan menggandakan usaha bagi mencapai sasaran itu kerana bank ini berada di landasan betul untuk mencapai sasaran yang ditetapkan untuk tahun ini,'' kata Ahmad selepas majlis memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Agrobank dan Mardec Bhd. (Mardec) di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis tersebut Pengerusi Mardec, Datuk Wira Syed Abdul Jabbar Syed Hassan, Ahli Lembaga Pengarahnya, Datuk Abdul Mutalib Mohamed Razak, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khalid Bahsoon, Pengurus Besar Kewangan, Teknologi Maklumat (IT) Mardec, Eric Gan Boon Koo serta Ahli Lembaga Pengarah Agrobank, Datuk Dr. Saharan Anang.

MoU tersebut bertujuan menawarkan kemudahan pembiayaan kepada pembekal serta pembeli getah yang berurusan dengan Mardec supaya urusan jual beli getah di seluruh negara akan lebih efisien dan berjalan dengan lancar.

Agrobank akan menyediakan tiga skim pinjaman kepada para pembekal getah yang berurusan dengan Mardec iaitu Pinjaman Mikro ESP-i yang membolehkan mereka membuat pinjaman sehingga RM20,000, Pinjaman MUS1M menyediakan pembiayaan sehingga RM50,000 dan Pinjaman Niagatani membolehkan pembekal mendapatkan pinjaman sehingga RM50,000 secara berulang-ulang.

winners
Ahmad Said (kiri) bertukar-tukar dokumen perjanjian dengan Khalid Bahsoon sambil disaksikan Syed Abdul Jabbar (dua dari kanan) pada majlis memeterai MoU Pembiayaan Modal AgroBank kepada pembekal getah Mardec di kuala lumpur, semalam.

Menurut Ahmad, Agrobank juga turut menyasarkan peningkatan jumlah aset kepada RM12 bilion pada tahun ini.

Katanya, sehingga Jun tahun ini, jumlah aset yang berjaya dikumpul mencecah RM10 bilion.

''Sehingga kini, sasaran yang kami tetapkan hampir pasti dapat dicapai tahun ini dan kami amat gembira dengan prestasi semasa yang ditunjukkan oleh Agrobank,'' jelasnya.

Beliau menambah, Agrobank merancang memperkenalkan tiga hingga empat produk baru dalam tempoh sehingga hujung tahun ini.

''Menerusi MoU ini kami telah melancarkan tiga produk perkhidmatan pinjaman baru kepada pembekal dan kami turut merancang akan mengeluarkan tiga hingga empat produk lagi untuk sektor pertanian pada tahun ini,'' tambah beliau.